Batuk Kering, Jangan Ambil Mudah Apabila Batuk Berpanjangan

Batuk kering atau Tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Mycobacterium tuberculosis yang selalunya menjangkiti paru-paru dan ia juga boleh menjangkiti bahagian badan yang lain seperti tulang, sendi, organ pembiakan dan perkumuhan, usus, kulit, selaput otak (tuberculous meningitis) dan lain-lain.
Komplikasi Tibi
Apabila bakteria TB menjangkiti seseorang, ia boleh :
- merosakkan struktur tisu paru-paru sehingga ia menjadi keras (mengalami ‘fibrosis’)
- pembentukan nanah di dalam paru-paru (dalam bentuk abses paru-paru atau ‘empyema’)
- paru-paru berair (‘pleural effusion’).
Jika tidak dirawat, kerosakan ini akan menjadi kekal dan melarat sehingga menyebabkan paru-paru berlubang (‘cavitating lesions’) atau ‘bronchiectatic’. Apabila sampai ke tahap kerosakan yang kekal, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas. Kadang-kala walaupun rawatan telah dimulakan, kerosakan paru-paru itu tidak akan dapat dibaiki semula.
Malaysia adalah antara negara yang mengambil serius tentang ancaman penyakit TB kerana pada zama sebelum merdeka, TB merupakan pembunuh nombor satu di negara kita. Kini, dengan adanya program vaksinasi serta pengesahan dan rawatan awal, statistik kes jangkitan menurun.
Statistik punca kematian disebabkan oleh TB jatuh di tangga ke-9 tetapi terjadinya peningkatan pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan oleh kebanjiran pembawa penyakit TB di kalangan imigran atau pekerja-pekerja asing serta penghidap HIV. Pada tahun 2018, terdapat 25,837 kes TB di Malaysia manakala di dunia pula, 1.6j orang mati kerana TB pada 2017 termasuk 300k yang ada HIV.
Cara Jangkitan Tibi
Yang mengerunkan risiko jangkitan TB didalam penerbangan adalah sama dengan kawasan tertutup yang lain. Jadi kita memang terdedah kepada penyakit ini sebab jangkitan adalah melalui udara.
Apabila seorang pesakit yang menghidap tibi batuk atau bersin, bacteria ini boleh menjangkiti individu yang berada berhampiran dengan pesakit Tibi tersebut.
Masa pengeraman selepas pendedahan kepada kuman TB sehingga menunjukkan tanda dan gejala penyakit TB adalah dari 2 minggu sehingga 10 minggu.

M.tuberculosis boleh berjangkit, tetapi kebanyakan jangkitan tidak menyebabkan penyakit. Risiko mendapat penyakit adalah 5 hingga 10% semasa hayat, tetapi boleh meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya faktor kurangnya daya ketahanan tubuh (contohnya jangkitan HIV).
Manakala, TB Bovine (yang disebabkan oleh Mycobacterium bovis), jangkitan adalah melalui pemakanan yang tercemar, produk tenusu yang tidak dipasteur dari lembu yang dijangkiti.
Golongan yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan Tibi
- Bayi, kanak-kanak, dan golongan tua
- Pesakit yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan seperti penghidap penyakit HIV, pesakit kencing manis, pesakit buah pinggang tahap akhir (end stage renal failure) atau pesakit penyakit kanser
- Pesakit yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang menrendahkan tahap daya ketahan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ, pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid, Crohn’s, Ulcerative Colitis, psoriasis dan sebagainya;
- Pesakit yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.
Tanda dan Gejala Tibi
- Batuk berterusan melebihi dua (2) minggu
- Batuk berkahak dan kadang-kala berdarah
- Hilang selera makan dan susut berat badan
- Demam
- Sukar bernafas (Dispnea)
- Berpeluh di waktu malam
- Sakit dada
- Suara serak

Cara Tibi Dikesan
Individu yang mempunyai simptom TB akan melalui pemeriksaan kahak untuk mengenalpasi bakteria di dalamnya.
Doktor juga akan melakukan imbasan X-ray dada untuk mengesan perubahan paru-paru.
Ada yang kena lalui ujian HIV juga kerana sistem imun badan yang rendah boleh menyebabkan pesakit HIV juga berisiko tinggi dijangkiti.
Tibi walaupun penyakit berjangkit, ia boleh diubati jika kita membuat pengesanan lebih awal dengan berjumpa doktor bertauliah. Rawatan dengan pelbagai ubat selama minumnya ialah 6 bulan, dimana pada 2 bulan pertama adalah fasa intensif dan 4 bulan berikutnya adalah fasa sambungan.
Walau bagaimanapun, jangkitan boleh berulang semula sekiranya pesakit tidak mematuhi rejim rawatan TB dan menyebabkan rintangan kuman TB terhadap pelbagai ubat TB akibat ketidak-patuhan menerima rawatan TB. Dalam keadaan yang paling teruk, penyakit TB boleh menyebabkan kematian apabila pesakit tidak mengambil perhatian serius untuk merawat dan mematuhi tempoh rawatan TB yang telah ditetapkan.
Sebab itu, iika anda atau ahli keluarga atau sesiapa saja yang dikenali mempunyai tanda-tanda ini, SEGERA berjumpa doktor.
Rawatan segera dapat menyelamatkan nyawa kerana Tibi boleh membawa maut.
Moga informasi ini dapat membantu kita,
Simply Remedies
